Lahirnya...Qays Naufal Ismarizal

Tanggal 17 Januari 2011 
Aku dikejarkan ke hospital kerana doktor mengesahkan yang tekanan darahku mendadak naik dan menurut doktor aku perlu dimasukkan ke hospital kerana bimbang kencing manis yang telah sedia aku hidapi ditambah pula dengan tekanan darah tinggi yang tiba-tiba naik akan memberi kesan kepada bayi dalam kandungan. Aku bimbang tetapi tidak terlintas sesuatu yang buruk akan berlaku. Aku berserah kepada Allah. 
Sebaik tiba di Hospital Sungai Buloh, aku rasa berdebar-debar dan gementar kerana pengalaman ini merupakan pengalaman yang pertama seumur hidup aku dimasukkan ke hospital. Aku dan suami terus ke dewan bersalin. Aku didaftarkan dan terus diminta untuk memakai kain batik (nak dijadikan cerita sehelai sepinggang je aku masa tu. Sentap sikit masa ni sebab tak ada komunikasi antara doktor, pesakit dan keluarga. Sedang suami aku tertunggu-tunggu kat luar dari pukul 2 lebih sampai ke 8 malam tak tau condition aku masa tu sama ada aku ni kena warded atau tidak) Aku tak tau hubby tunggu kat luar. Tak dapat nak jenguk dia pun sebab doktor pasang CTG masa tu. Memang sedih tak sempat pun jumpa hubby. Aku cuma sempat telefon sekejap dan bagitau dia keadaan aku dan prosedur yang bakal aku hadapi. Menurut doktor, keadaan kandungan dah cukup baik untuk bersalin. Jadi aku akan bersalin secara induce (bersalin normal tetapi dimasukkan ubat untuk paksa bersalin). Suami dan aku akur. Aku rasa sebak tapi tahan tak nak suami bimbang. Biar apa pun yang terjadi anak menjadi keutamaan kami buat masa ni. 

Lepas tu aku masuk kembali untuk berehat di katil. Aku punyalah risau sampai tak makan. Sampailah datang seorang doktor perempuan yang berbangsa cina tanya aku, "Puan, sudah makan ke?" Aku hanya menggelengkan kepala. Apa lagi, aku terus di suruh ke bilik makan. Aku pun makan malam sambil ditemani oleh ibu-ibu yang lain yang masih menunggu giliran untuk bersalin sambil bersembang kosong. Ramai rupanya malam tu. Aku kesian tengok diaorang. Semua menunggu di kerusi sebab tak cukup katil. Aku pun tunggu je di bilik makan tu, bagi peluang untuk ibu lain berehat dan diperiksa di katil aku. Tiba-tiba, nama aku dipanggil, berkat bagi katil kat orang, aku dapat katil lain yang ada bilik lagi. alhamdulillah.
Sedar-tak sedar, dah lewat rupanya. Dan bila masanya aku terlelap pun aku tak tau. 

18 Januari 2011
Lampu bilik aku dinyalakan. Masuklah sorang nurse ni, macam semalam. Muka punyalah ketat. Dia check BP aku dan pasangkan CTG. Muka dia semacam je. Pastu berlalu pergi. Hati aku rasa berdebar balik. Macam ada yang tak kena je. Betul tekaan aku, selang beberapa minit kemudian, nurse tu datang lagi dia suruh aku kejutkan anak aku, sebab graf CTG dah tak cantik. Anak aku dah tak bergerak. Ya ALLAH. Masa tu aku rasa ringan je badan macam dah tak ada darah...Risau. Hanya fikirkan anak je. Lepas tu doktor datang dan beritahu masalah yang sama pada aku.  Dengan tidak berfikir panjang, aku minta doktor buatlah apa-apa yang patut. Aku nak anak aku selamat. Aku sedih. Dahla condition aku macam ni, hubby pulak tak ada disisi. Aku jadi bertambah risau. Kesian ayang. Hospital tak call dia dan bagitau pun condition aku dan anak. Aku sedikit marah masa tu. Tapi tahan. Dalam keadaan kecemasan tu, surat kebenaran untuk dibedah pun aku sign sendiri. Baju aku di tukar, tiub dipasang, rasa macam terawang-awang. Takut pun ada, bimbang pun ada...sampai ada satu ketika tu aku tak rasa apa-apa. Rasa...kosong. Yang aku ingat aku kata pada doktor tu ketika aku ditolak ke bilik bedah... "please call my husband!" 
Aku redha.  
Sampai dibilik bedah, pakar bius memberikan penjelasan kepada aku akan prosedur yang akan dijalankan. Aku akan disuntik ditulang belakang menggunakan 2 jarum, yang kecil dan yang besar dan hanya akan kebaskan bahagian pinggang ke bawah. Maksudnya, sepanjang pembedahan tersebut aku akan berjaga. Aku hanya mengangguk bersetuju. Aku diberikan bantal untuk dipeluk dan tulang belakang aku disuntik. Selepas itu aku mula merasa kesannya. Sambil bersembang ringkas dengan pakar bius tersebut, rupa-rupanya pembedahan telah pun bermula. Kuat juga badan aku bergerak-gerak. Rupa-rupanya doktor punya kerja. Kedengaran suara doktor tersebut minta bantuan dari yang lain untuk bantu dia menolak sesuatu,"Help me push!push!" hehehe  dah kata kena bedah kenapa kena push pulak kan? Hehehe mungkin lemak diperut banyak kot . Aku memberanikan diri mengintai dari pantulan lampu bilik pembedahan tersebut.  Rupa-rupanya doktor susah sikit nak keluarkan anak. Ngeri juga masa tu. Bayangkan aku dapat melihat perutku yang terbuka dan kepala anak yang hampir dipermukaan. Nampak macam payah hendak keluarkan anakku itu. Doktor tu cuba menarik sehingga aku merasakan seperti sesuatu dikeluarkan dari perut.
 Beberapa saat kemudian kedengaran suara bayi yang kuat dan nyaring. Alhamdulillah. Anak aku selamat. Bisik hati kecilku. Aku menangis tanda syukur dan gembira. Setelah dibersihkan, anak dibawa kepadaku seketika. Dapatlah aku melihat dia buat pertama kalinya dan satu ciuman aku berikan. Kemudian, anak aku dibawa pergi. 
Setelah selesai dibedah. Aku dibawa keluar menunggu nurse untuk membawa dan menempatkan aku di ward. Yang aku pelik tu, nak kata sejuk tak la sejuk sangat hospital tu. Tetapi, sejak ditolak keluar dari bilik pembedahan tadi aku menggigil tak henti-henti sampailah di luar, masih menggigil. Sesekali terlelap. Ada kalanya terlintas juga, mana anak aku? Aku tidak dimaklumkan akan situasi sebenar sehinggalah aku ditolak ke ward dan suami yang memaklumkan kepada aku yang anak kami mengalami komplikasi dan perlu ditempatkan di NICU. Kata suami, anak ok. Tapi hati ibu hanya Allah yang tahu. 
19 Januari 2011
Hari ini aku masih tak rasa apa-apa cuma badan masih lemah tapi kesan pembedahan tak sakit. Teringatkan anak. Macam manalah keadaan dia. Nasib baik suami dapat pergi tengok, Katanya anak ok. Tetapi pada aku selagi aku tak tengok dengan mata kepala aku sendiri, aku tak yakin yang anak aku ok. Petang tu suami bawa aku turun ke NICU untuk melawat anak buat pertama kalinya. Suami berlagak biasa. Aku tahu mesti ada yang tak kena. Aku cuba berlagak biasa. Tetapi hati berdebar-debar. Mata liar mencari anak. Suami terus menolak kerusi rodaku. Hati lega pada mulanya ketika melalui zon hijau ingatkan anak ditempatkan disitu. Sangkaanku silap. Suami terus menolak kerusi rodaku melalui zon kuning. Oh! mungkin disini kata hati kecilku. Tapi bukan. Hubby terus menolak sehingga aku sampai di zon merah. Disitu anak kami ditempatkan dan ini  (gambar)  yang aku lihat. YA ALLAH!
sebak dan pilunya hati aku melihat sekujur tubuh kecil itu. Anakku. 




Kedua-dua gambar ini ketika Naufal masuk NICU

Aku tak dapat menahan air mata. Ibu mana yang tak sedih. Aku hanya mampu memegang jari-jemari kecilnya sambil mengusap lembut rambut dan berkata,  "Anak ibu, anak ibu kena kuat tau. Kena lawan. Baru cepat sembuh. Bila cepat sembuh cepatla balik rumah. Semua orang tunggu dan mendoakan anak ibu. Ye sayang." Pada ketika itu juga aku redha dengan ketentuan ALLAH. Doktor pun tidak berani menjanjikan apa-apa kerana peratusan kesihatannya meningkat sedikit sahaja dan masih memerlukan alat bantuan pernafasan. Kata doktor, anak kami dah lemah dalam kandungan kerana paru-parunya sudah dimasukki najis dan dia tidak mampu untuk bernafas sendiri.  Itu puncanya. Aku sedikit marah. Aku marah bukan pada doktor tu tetapi kepada Klinik kesihatan yang aku selalu pergi. Tak kanlah mereka tidak dapat mengesan masalah ini  sebelum ini. Maksudku, kejadian ini dapat dielakkan jika semasa pemeriksaan bulanan, aku yakin yang doktor sudah dapat mengagak sama ada kandunganku cukup matang atau tidak. Jadi aku boleh bersalin awal. Inila akibatnya dan kelemahan klinik kesihatan kerajaan yang aku pergi. Kalau tidak ada kes atau masalah yang serius kepada si ibu maka si ibu tidak akan berjumpa dengan doktor cuma berjumpa dengan nurse sahaja. 
Nasib baik aku pergi review BSP pada 17Hb tu. Kalau aku tak dapat pergi, entah apalah yang terjadi pada aku dan anak. Nasib baik anak aku selamat. Tetapi buat masa ini, dia memerlukan perhatian rapi. Aku redha.




20 Januari 2011
Hari ini kami akan turun ke NICU lagi nak melawat anak yang kini kami namakan Naufal. Aku memang tak sabar nak peluk, cium dan bawa Naufal balik. Tak nak dia duduk lama-lama di NICU. Tambahan pula aku dibenarkan keluar hospital hari ini. Aku pun tak nak duduk lama-lama kat wad. Naik gila aku dibuatnya. Setiap hari, setiap malam aku tidak lelap tidur & tidak sabar menunggu masa melawat kerana aku sedih & cemburu melihat ibu-ibu lain membelai bayi mereka. Sedangkan aku? Aku sedih setiap hari, merenung katil bayi di sisi kosong. Nasib baik aku bertahan dan sentiasa berdoa memohon kekuatan dari ALLAH. Kalau tidak, aku boleh kena meroyan.
Tepat 12.30t/hari, hubby muncul sambil tersenyum. Lega rasanya dan sejuk hati bila dapat tengok muka hubby. Buat masa ini, dialah kekuatan dan semangat bagi aku untuk terus positif dan mendoakan keselamatan dan kesihatan Naufal.  Aku tahu, di sudut hati kecilnya, dia menangis tetapi sedikit pun tidak menunjuk perasan itu kepada ku. 
Memandangkan Naufal ditempatkan di NICU, maka masa melawatnya lama la sikit. Aku dan hubby meluangkan masa yang agak lama bersamanya. Aku belai tangannya, rambutnya, urut dadanya & bersembang dengannya. Aku yakin, urutan yang diberi pada bayi memberi rangsangan yang baik kepadanya. Aku yakin Naufal pasti sembuh. Tak lama selepas itu, kami pun beredar untuk kembali ke wad menunggu & bersiap untuk balik ke rumah. Lega rasanya. Yang penting hubby sentiasa ada di sisi. Hanya dia yang aku perlukan sekarang. 
Sepanjang di hospital, aku kira lebih kurang 3 hari 2 malam cukup memberi kesan kepadaku memandangkan anak tiada disisi.  Aku tertekan &  terjaga hampir setiap masa di dalam wad mendengarkan tangisan bayi lain, sedang katil bayiku kosong. Aku menangis sendirian. Mengenangkan anak yang tak dapat aku gedong dan susukan.  Setiap pagi menunggu waktu berlalu pergi tak sabar nak tengok muka hubby. Mana tidaknya, setiap kali nampak sahaja kelibatnya, hilang rasa risau, sedih  dan terlupa seketika akan keadaan anak di NICU. Hari berlalu pergi, dan hari ini aku dibenarkan pulang. Akhirnya, tapi berat nak meninggalkan Naufal. Apakan daya, selagi tak sihat sepenuhnya pasti doktor tidak mahu mengambil risiko membenarkan Naufal pulang bersamaku. Sebelum pulang, hubby dan aku sempat menjenguk Naufal dan luangkan masa bersamanya dengan harapan Naufal dapat dengar dan merasa sentuhan kami agar cepat sembuh.
Sebaik dibenarkan pulang, kami dipelawa untuk duduk dan  aku akan berpantang di rumah saudara hubby di Kota Damansara. (Rumah Pak cik dan Mak cik hubby) Thank you sebab bagi saya tempat berteduh yang dekat dengan hospital, senang nak ulang-alik tengok Naufal. 


21 Januari 2011
Pagi ini, aku rasa lebih tenang dan lega sebab dah tak ada di hospital.  Tapi hati ibu teringat sangat kat Naufal. Mesti anak ibu rindukan ibu. Tanpa berfikir panjang, aku terus suarakan hasrat hati nak ikut suami ke hospital nak jenguk Naufal.  
Tak sabar aku nak jumpa Naufal. Walaupun tahu yang Naufal ni dalam keadaan baik dan dijaga rapi oleh semua kakitangan dan doktor di hospital terutama di unit NICU tu, sebagai ibu aku tetap bimbang. Hanya apabila Naufal berada dalam pangkuanku barula aku rasa Naufal selamat. 
Sebaik tiba di hospital, manja ibu masih lagi ditempatkan di NICU zon merah. Doktor cakap ada perubahan berbanding sebelumnya.  Alhamdulillah. Lega aku mendengarnya. Tapi pandangan mata aku sahaja yang tak berapa kena. Mana tidaknya. Sepanjang aku di hospital melawat Naufal, aku tak pernah nampak ibu bapa lain yang datang melawat bayi mereka di NICU sehingga hari ini. Hanya ALLAH yang lebih mengetahui betapa luluhnya hati seorang ibu. Sayu aku melihatnya. Besar sungguh ujian ALLAH pada ibu muda itu. Nasib Naufal  lebih baik dari anak itu.  Luluh hati aku melihat sekujur tubuh kecil yang kekuningan badannya dan hanya terlentang kaku dipenuhi  wayar dan tiub sebagai sokongan untuk si kecil terus hidup. Si ibu itu terus-terusan membaca ayat suci Al-Quran sambil diselangi air mata yang berjujuran.  Sedih aku melihatnya. Aku hanya mampu berdoa agar si kecil cepat sembuh dan dapat bersama dengan keluarga.  Memang aku tak tahan melihat kesedihan ibu itu lantas aku terus memegang jari-jemari Naufal sambil berbisik kepadanya.."Manja ibu, cepat sembuh ye. Ibu & abah tak sabar nak bawa Naufal balik. Naufal kena kuat ye. Kena lawan. Ibu & abah sayang Naufal". Kebetulan, saudara-mara ada membekalkan air untuk diberi kepada Naufal sebagai ikhtiar agar cepat sembuh. Air tersebut aku sapu pada dadanya, bibirnya dan diubun-ubun dengan harapan agar usaha ini berhasil dan Naufal akan dikeluarkan cepat dari NICU. Amin. 

Rumah Baru- Hospital Sg. Buloh

27 Mac 2012 ( Selasa)- Hari pertama- Hamil 32 minggu
Sebaik je ayang meninggalkan aku, aku terus bergegas ke bilik mandi. Mandi & solat maghrib. Alhamdulillah. Selamat dah aku di ward. Tapi yang tak selamatnya, jiwa aku yang tak tenteram & air mata yang meruntun kesedihan sebaik sahaja menatap gambar Naufal dan ayang. Burger yang ayang beli pun aku tak usik sebab sayang nak makan. Sedih sebab tak pernah berenggang dengan Naufal dan ayang dalam jangka masa yang panjang. Malam ni tak adalah ibu dapat peluk Naufal dan bum bum. Peluk abah ye. Minta baju ibu yang bersangkut di pintu almari. Mudah-mudahan dapat menjadi pengganti diri buat manja ibu tidur malam.
Jam di handphone dah hampir 9.02 malam. Tiada lagi rutin aku seperti malam-malam yang sebelum ini menonton ceria, Baby TV atau favourite channel FOX bersama manja ibu Naufal. Tak ada lagi dah Pop & piz, Tuli, Draco, Charlie & the numbers. Favourite channel ibu & Naufal :'( Sabar ye hati. Hati tak boleh sedih-sedih sebab tak elok untuk diri dan baby.
Aku sorang-sorang je kat katil. Nasib baik ada friendly neighbourhood yang seangkatan dengan aku yang dah lama berkampung di sini hanya menunggu masa nak melahirkan zuriat masing-masing. Ada yang esok dan ada juga yang akan di bedah pada hari-hari yang berikutnya. Semua pakat menyuarakan rasa bimbang sebab nak melahirkan anak sulung secara pembedahan. Tiba-tiba aku jadi penasihat diaorang. Bukan apa, dah ada pengalaman di bedah. Jadi apa salahnya bagi kekuatan pada diaorang. Janji ibu dan anak selamat. Itu je yang penting sekarang ni ( ingatan untuk aku juga. Sebab tu kena berkampung kat sini huhu) oklah setakat ni je dulu k. Aku nak gi solat. Nak tenteramkan hati ni. Asyik menangis je dari tadi. Kita cerita lagi esok ye.. :D

Terkilan

"Biasalah..simptom orang mengandung. Takpe lah..tak ada apa-apa" katanya dengan muka yang bengang. "Sorry kalau ty ada buat salah" kata aku...dia terus menggelengkan kepala dan aku pun berlalu pergi. Tahukah engkau betapa deritanya aku ketika mengandung? Tahukah kau betapa deritanya aku untuk menanggung perubahan yang bakal dihadapi oleh tubuhku? Tahukah kau betapa deritanya aku menanggung sakitnya? Kalau mampu aku pindahkan kesemua rasa itu kepadamu, mungkin pada saat itu baru kau akan sedar betapa tersinggungnya aku pabila kau mengatakan yang "Biasalah..simptom orang mengandung"!
Mana mungkin aku menjadi begitu pentingkan diri? Aku tahu kau penat. Tidak pernah sekalipun aku menafikannya. Tapi yang aku minta kau faham keadaanku pada ketika ini yang sangat lemah dan amat memerlukan perhatianmu. Maafkan aku andai aku tertinggi suara menyinggung perasaanmu. Tetapi aku memanggilmu sebentar tadi & aku juga cuba menyatakan bahaya yang bakal dihadapi jika kita tidak berhati-hati. Tetapi sehingga kini, kau masih dengan sikap selambamu dan seolah-olah mengambil mudah hampir setiap perkara. Salahkah apa yang aku katakan? Tetapi itulah yang digambarkan olehmu melalui bahasa badanmu. Terpulang. Aku redha dan memang aku marah..tapi tidak mengapalah. Lega rasanya setelah menangis dan meluahkan rasa sakit hati dan resah yang aku rasai sebentar tadi...

Kesian

Aku percaya nukilan pena yang menari itu lebih tajam dari sebilah pisau mahupun kata-kata seorang manusia. Tarian pena lebih indah, tersusun, tepat dan membunuh. Kesian bagi kita yang tidak pernah sedar, sering alpa akan kelemahan diri kita dan seringkali menunding jari mencari kesalahan orang lain, tetapi kesalahan diri kita seringkali  diendahkan oleh mereka yang kita klasifikasikan sebagai "PUAK", "KAUM", "GENG" dan sebagainya. Kenapa? kerana demi menjaga hati ; silaturrahim . Apa salah mereka sehingga kamu merasa begitu sakit dimata dan dihati? Apa salah mereka sehingga kamu sanggup untuk menjadi batu api yang panas membara? Apa salah mereka hingga kamu sanggup untuk menabur pasir di dalam periuk nasi mereka? Kesian...sungguh kesian. Aku bersimpati kepada kamu wahai manusia.

Memang benar kamu tidak sedar atau sengaja tidak mengendahkan. Yang nyata kedudukan kamu itu. Rapuhkan? Nak jatuh? Percayalah kamu tidak akan disambut kerana sesama kamu itu sendiri ada virus yang sedikit demi sedikit memakan diri kamu dan sesama kamu yang akhirnya akan membawa kepada kesudahan yang trajik. Kesian, kamu sebenarnya sentiasa dikutuki oleh kamu sendiri yang kamu sangka "kamu" itu teman-teman kamu. Kesian.

Sampai bila.............

Semalam aku susah nak lelapkan mata. Selesai je bercakap dengan beliau yang aku anggap cukup mengenaliku akan membawa kepada perbincangan dan penyelesaian yang baik. Tetapi aku silap, sampai sekarang aku masih dianggap asing dan pendapat aku dianggap tidak boleh diguna pakai. Lebih tepat kalau aku ni dianggap sebagai tak berapa pandai sebab kononnya aku ni tak pandai sekolah. Hello!! cakap tu tolong pandang-pandang sikit. Susah payah aku menghabiskan masa aku selama 3 tahun diuniversiti untuk mendapatkan ilmu yang aku anggap sama pentingnya dengan ilmu lain. Apa cikai sangat ke kalau aku ni menuntut ilmu seni persembahan? Hanya individu yang bawak balik banyak A atau yang belajar kursus lain seperti engineering, law, business dan sebagainye je yang bijak dan dianggap layak untuk memberi pendapat. Argh! Typical Malaysian!!



Aku tak kisah sangat sebab beliau sudah lama kehilangan aku secara rohaninya tetapi secara zahirnya aku sekadar menjaga hati dan menjalankan tanggungjawab aku selagi mampu. Aku ni, secara jujurnya meluat dengan sikap beliau yang tidak mahu mendengar kata dan sentiasa mahu menang. Aku tahu beliau banyak menipu aku dari segala hal termasuklah soal kewangan. Kalau hal orang beliau sibuk nak tahu tapi kalau pasal sendiri nak sorok selagi mampu. Tidak mengapa. Tuhan tu Maha Kaya, Maha Agung dan Maha mengetahui segala tindak tanduk hamba-hambanya. Lambat laun akan terbongkar jua. Sampai ke hari ini, daripada apa yang dapat aku lihat, semua yang dilakukan seolah-olah menitik beratkan soal orang lain tetapi pada hakikatnya beliau hanya mementingkan diri sendiri. Ada kalanya aku rasa seperti mahu menghilangkan diri dan bawa haluan aku sendiri. Tetapi aku batalkan hasratku kerna aku tahu masih ada yang kisah pasal aku, sayangkan aku. Tetapi beliau kena ingat beliau banyak berdosa dengan aku dan yang lainnya kerana amanah tidak dipikul dengan sempurna. Aku sedar, aku juga berdosa dan banyak membuat silap tetapi aku tidak pernah cuba untuk memanipulasi mana-mana pihak untuk kepentingan aku sendiri. Aku tahu beliau cuba untuk memanipulasi aku tetapi tak boleh sebab aku cukup bijak dan dapat membaca cubaan beliau itu. Aku cuma mahu bebas. Tidak mahu dikonkong. Aku punya pendapat dan prinsip aku sendiri. Biarlah setiap keputusanku itu ada silapnya sebab itu warna cerita kehidupan aku. Aku sudah cukup dewasa untuk menentukan apa yang terbaik untuk diriku. Bagilah peluang untuk aku memilih jalan hidup aku. Tolonglah....



Tolonglah.....gembirakan aku selagi hayatku masih ada. Kerana lukaku ini sudah bernanah dan agak sukar untuk aku melupakan apa yang pernah engkau ucapkan, tindakan yang pernah engkau lakukan.


Broadway Parodies lagi Lah! sudah 6 hari berlalu di Pentas 1 kLPAC Kuala Lumpur. Walaupun pementasan ini berlangsung di dalam bulan Ramadhan, alhamdulillah sambutan tiada kurangnya.
Jadi, pada yang masih belum menonton segeralah mendapatkan tiket anda kerana kami tinggal 4 show saja lagi di Kuala Lumpur sebelum melabuhkan tirai iaitu pada 25 sep / khamis (8.30pm), 26 sep/ jumaat (8.30pm), 27 sep / sabtu ( 8.30pm) dan 28 sep / ahad (3.00pm). Bagi yang belum tahu, pementasan ini juga akan tour ke Ipoh, Pulau Pinang, JB dan Kota Kinabalu. Jadi jika ingin mendapatkan tiket untuk KK minta kengkawan hubungi President of the Lions Club, Dr. Kheng Kien Soo @ Klinik Dr. Kheng, Lot 12, Block C, Ground Floor, Damai Plaza Phase III, Luyang, 88300 Kota Kinabalu. Tel: 088-267000 or 012-8282002 dan untuk tiket di negeri lain, sila hubungi the Actors Studio of KLPAC untuk informasi selanjutnya.
Pastu, kat bawah ni ada link review pementasan Broadway Parodies lagi Lah! Saja nak share ngan korang ;)

http://www.star-ecentral.com/news/story.asp?file=/2008/9/23/soundnstage/2074542&sec=soundnstage